"Siapa saya?" Aflah berkata-kata sendirian sambil menikmati pemandangan padi yang sangat luas. Dia memandang jemarinya yang dicubit kuat tadi. Masih berbekas merah. Dia tidak bermimpi.
Alfah melihat pemakaian orang perempuan di sini memakai sehelai kain membaluti bahagian dada sampai ke atas lutut.
"Mengapa tiada jalan raya aspal atau gravel (berbatu) seperti kampung biasa?"
Dia hairan bila mendapati langsung tiada jalan keluar yang boleh dilalui oleh kereta atau motor.
"Mengapa tiada bekalan elektrik. Sebatang lilin pun tiada! " Aflah mulai meneka-neka sendiri.
"Ehem" Ondu berdehem agar kehadirannya disedari.
"Oh.." Aflah menarik semula tangannya daripada aksi 'Yes' tadi. Dia termalu seketika.
"Kamu dari mana?" Ondu memulakan pertanyaan.
"Saya tidak pasti" Aflah tertawa kecil. Semua ini seperti dalam mimpi.
"Kalau kamu tidak ingat nama kamu, boleh saya panggil kamu Rumandi?"
Aflah mahupun Ondu terdiam. Aflah mengangguk saja.
"Saya suka baju kamu." Ondu memuji pakaiannya.
"Nampak lebih misteri." Ondu memandang ke arah sawah padi.
"Oh, terima kasih."
"Saya pernah melihat pakaian begini semasa mengikuti bapa saya ke Sayap. Sebuah tempat belajar ilmu pertahanan diri. Tapi baju begini dipakai oleh lelaki. Saya belum pernah jumpa perempuan yang memakainya kecuali kamu."
"Saya harap kamu tidak tersinggung pemakaian saya begini."
"Keluarga kami tiada masalah tentang itu."
Aflah melihat matahari yang sudah tegak di atas kepalanya. Dia meminta diri untuk bersiap. Sebentar lagi dia perlu solat Zuhur. Walaupun dia tidak ingat siapa dirinya. Tapi kewajipan sebagai muslim itu dia tidak lupa.
Aflah berjalan ke aras tali air yang mengalir jernih. Sungguh ladang padi yang dilihatnya seperti dalam lukisan. Padi sawah, padi huma(bukit) semua hidup subur. Sekeliling sawah dipenuhi hutan tebal.
Selesai berwudhuk di kawasan tali air yang jauh dari orang, dia melihat keadaan dirinya. Berpakaian lengan panjang, berstokin tebal. Berkasut sukan. Bertudung. Lengkap. Dia boleh solat tanpa telekung. Alhamdulillah. Aflah melihat arah bayang-bayang pokok yang ada untuk menentukan arah kiblat. Yang penting yakin.
Selesai memberi salam, Ondu datang memanggilnya untuk makan tengah hari.
"Poinsikou" (Terima kasih). Mereka berjalan seiringan ke pondok tempat makan.