Zamil memegang tangan isterinya yang terbaring. Matanya memandang mesin yang memaparkan kadar denyutan nadi Aflah. Dia teringat kata doktor semalam.
"Maaf Encik Zamil. Isteri encik tidak menunjukkan tanda reaksi pada aktiviti otaknya. Dia telah koma."
"Apa doktor? Isteri saya koma? Apa sakit isteri saya?"
"Kami akan jalani ujian yang berkaitan. Kita akan dapat mengetahui selepas itu. Boleh berikan saya sejarah perubatan isteri encik? Pernah tidak dia mengadu sakit di mana-mana?"
"Saya tidak pasti doktor, dalam 2-3 tahun selepas kematian anak kami, kami jarang berkomunikasi..." Zamil memandang ke lantai.
"Oh... Pernahkah dia mendapatkan rawatan atau khidmat kaunseling dari mana-mana hospital?" Doktor itu cuba mengorek maklumat lebih lanjut.
"Saya tidak tahu..."
"Baiklah, jika encik ada mengingati apa-apa maklumat lain yang membantu, boleh berikan maklumat tersebut dengan segera ya. Jika tidak ada apa-apa lagi, saya mohon diri." Doktor tersebut memberikan ruang kepada Zamil untuk bertenang dan berfikir dengan waras.
"Zamil, apa yang telah kau lakukan?! " Walaupun Zamil yang bertanya soalan tersebut. Namun, tiada yang dapat menjawab soalan itu. Waima dirinya sendiri.
Berita keluarga Zamil cepat tersebar kepada rakan sepejabat. Mereka datang melawat setiap kali ada masa lawatan bergilir-gilir. Zamil dicutikan kerana tiada yang dapat menjaga isterinya. Namun, dia dibenarkan bekerja dari rumah jika dia bersedia untuk bekerja semula.
***
"Kamal, aku buat satu kesalahan yang besar." Zamil memulakan perbualan ketika Kamal datang menghantar makanan kiriman isterinya kepada Zamil.
"Isteri aku nampak kuat di depan, rumahnya baru aku sedar dia sangat rapuh. Doktor kata dia ada masalah trauma. Tapi aku terjerit dengan dia sebelum dia pengsan dan koma. Mungkin itu punca isteri aku koma."
"Sudahlah Mil, yang berlalu biarlah. Mari kita berdoa agar isteri kau cepat sedar. In Shaa Allah. Selalulah berbicara dengan dia. Orang kata, pesakit koma boleh dengar apa yang kita ucapkan."
"Aku malu Mal.." Zamil menangis semahunya sambil menutup muka dengan tangan.
"Begini, saya minta diri dulu. Biar kau ada masa untuk bertenang ya...Jangan lupa makan makanan ini. Isteri aku masak. Kesian aku tengok kau tak selera makan. Kau kena kuat. Jangan putus asa!" Kamal menepuk-nepuk belakang Zamil dan meminta diri.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.