Showing posts with label Bab 1. Show all posts
Showing posts with label Bab 1. Show all posts

Monday, October 5, 2020

1.5 Menyimbah Minyak Ke Api

 Berita kematian Adam diketahui oleh keluarga, rakan taulan melalui status Zamil di dalam  Facebook. Banyak kata-kata semangat diberikan kepada mereka berdua. Aflah berasa sangat bertuah kerana ramai yang prihatin.

     Pun begitu, mereka masih perlu menjalani kuarantine untuk memastikan mereka benar-benar telah bebas dari jangkitan Tuberculosis. Walaupun Zamil bekerja dari rumah, dia terlalu sibuk menghadap komputer. 

     Mereka suami isteri jarang berbual santai. Aflah berasa sunyi, tapi dia tidak berani mengganggu suaminya yang masih berduka dan disibukkan oleh kerja yang tertangguh akibat mengurus anaknya ketika dihospital. 

     Aflah hanya ditemani oleh rakan-rakan Facebook yang tidak jemu bertanya khabar. Dalam banyak-banyak rakan facebook yang bertanya khabar ada seorang lelaki yang setiap hari tidak pernah lupa bertanya khabar di status akaun Aflah.

     Apa sahaja post baru, komen lelaki itu pasti akan muncul. 

Shingga satu ketika, Zamil perasan akan kehadiran lelaki itu di dalam akaun isterinya. Dia menghubungi lelaki tadi secara 'private message'.

     "Assalamualaikum. Bro, kenapa kau suka komen di status isteri aku?? "

     "Waalaikumussalam. Bro, aku masih rindukan dia. Sebelum dia berkahwin dengan kau, aku orang yang selalu berada di sisinya suka dan duka. Tahu?"

     "Yang aku tahu sekarang dia milik aku. Jangan cuba-cuba ganggu dia!" Zamil mengetap bibir. Jika dia boleh keluar, ingin saja dia berjumpa lelaki itu dan mengajarnya sekali. 

     "Terpulang pada Aflah, dia akan pilih siapa yang layak berada di sisinya.." 

Lelaki itu menyahaktifkan aplikasi chat. 

     Zamil mencari kelibat Aflah di dapur. 

     "Aflah, aku tidak suka kau berbalas komen dengan lelaki di facebook!" 

     "Aflah hanya membalas ucapan mereka. Itukan budi bahasa kita di alam maya..." Aflah mencuba meneutralkan keadaan. 

     "Aflah, anak kita baru sahaja meninggal. Aku terasa pelik kalau kau mula mencari lelaki lain di luar sana. Lainlah kalau aku yang mencari perempuan lain!" Zamil berlalu meninggalkan Aflah dalam air mata yang berlinangan.

     "Bang!" Pintu rumah dihempas. Zamil keluar dan menghilang selama 3 hari. 

1.4 Duhai Anak


Aflah tenggelam dalam kenangan.

    Anak itu selalu sakit, sehingga  hembusan nafas terakhir, anaknya berada di katil wad ICU. Badan penuh berselirat wayar. Air matanya jatuh perlahan.

    Sejak itu, suaminya berubah sama sekali.

    Selalu pulang lewat. Bila Aflah bertanya, jawapannya hanyalah 'Banyak kerja perlu diselesaikan'. Kesannya, makanan yang dimasak untuk makan malam selalu tidak terusik dan dia perlu habiskan pada esok hari.

     Aflah masih mengingati hari Adam dilahirkan.  Zamil adalah orang yang paling teruja. Zamil menyediakan bibik yang menjaganya ketika berpantang. Setiap hari dia akan pulang seawal mungkin dari kerja. Tak sabar nak lihat dan peluk Adam katanya. Sehingga Adam dapat menyebut perkataan 'baba'. Zamil berasa bangga. 

     Tiada siapa menyangka, bibik yang diupah mempunyai penyakit tuberculosis selepas kembali dari kampung. Seminggu dia batuk tak henti-henti. Zamil meminta dia membuat pemeriksaan lanjut. Akhirnya mereka dapat berita, dia ada penyakit berbahaya tersebut lalu diberhentikan kerja serta merta. 

     Seluruh ahli keluarga termasuk Zamil, Aflah dan Adam diminta membuat pemeriksaan. Rupanya, Adam telah terkena jangkitan penyakit tersebut. Selama 6 bulan dalam rawatan. Adam tidak dapat bertahan. 

     

1.3 Grab

 Grab sampai betul-betul di hadapan pintu masuk Karamunsing. Aflah lega meninggalkan Helmi tanpa perlu bercerita panjang dengannya.

    "Cik selalu naik Grab?"

    Aflah menoleh ke arah pemandu tersebut sedikit terkejut. Pertanyaan tersebut memecahkan kesunyian yang tercipta dari awal perjalanan.

    "Tidak juga selalunya saya dengan suami saya," perkataan 'suami' di tekankan sedikit untuk memberi mesej bahawa panggilan 'Cik' tidak sesuai untuknya.

    "Oh..Anak tidak ikut?"

    "Tidak" Aflah menjawab pendek dan melihat diluar jendela. 

'Dia sedang menunggu ibunya di Syurga' Aflah bermonolog sendiri. Anaknya telah menemui pencipta seawal usia setahun lebih asbab komplikasi paru-paru. Selebihnya, Aflah faham ajal anaknya telah sampai.

    Aflah memasang alat pendengar di telinga. Pemandu itu melihat sekilas di cermin pandang belakang. Dia segera faham, penumpang itu tidak sedia berbual. Dia juga ikut berdiam. Dia perlu menjaga prestasinya yang telah bertahan mendapat 5 bintang daripada pelanggan sebelumnya.

1.2 Peminat Rahsia

     "Eh...?"

    "Maaf, tuan boleh duduk di meja lain."

    "Aflah, lupakah pada saya?"

    "Maaf, Siapa ya?"

    "Saya Helmi."

    "Oh, Helmi! Silakan duduk di meja sebelah ya..," Aflah masih keberatan memberi keizinan Helmi duduk di sampingnya. Itu sangatlah janggal.

    Helmi pernah melamarnya selepas majlis konvokesyen mereka 6 tahun yang lalu. Sejak itu bermula Aflah selalu mengelak untuk bertemu Helmi.

    "Baiklah, maaf kerana mengganggu Aflah." Helmi memberi senyuman kelat sebelum ke meja sebelah.

    Aflah jadi serba tak kena melihat Helmi sekejap-sekejap menoleh padanya. Dia segera bangun dan meninggalkan kek yang tidak terhabisi. Sambil berjalan, Aflah menempah Grab. 

    

    

Thursday, October 1, 2020

1.1 Me Time

     Aflah memilih Pasaraya Karamunsing sebagai lokasi 'Me Time' minggu itu. Orang berbaris di pintu masuk untuk memeriksa suhu dan mendaftar MySejahtera. Semuanya masih membiasakan diri dengan pemakaian pelitup muka sepanjang masa berada di dalam pasaraya dan di kawasan-kawasan tumpuan ramai.

    Aflah memilih untuk masuk kedai di luar pasaraya saja, Pancake House. Kedai ini eksklusif tapi masih dalam belanjawan Aflah. Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Kebetulan kedai itu agak lengang. Selesai membuat pesanan, Aflah naik ke tingkat atas dan menuju meja paling hampir dengan dinding kaca kedai itu. Aflah boleh melihat bangunan Sabah Electricity Sdn Bhd di hadapan Pasaraya Karamunsing dengan jelas sekali.

    Hanya Aflah dan seorang perempuan separuh baya duduk di sana. Seorang pelayan datang bersama pesanan Aflah. 

    "Ini pesanannya, puan. Selamat menjamu selera." Pelayan melemparkan senyum manis untuk pelanggan. Aflah mengangguk dan mula menghirup Air Lemon Madu seraya pelayan itu berlalu.

    "Pancake oh pancake..mengapa engkau sedap sangat?" Aflah sempat berkata kepada dirinya sebelum mengunyah sepotong kek yang ada di mulut. Matanya dipejam. 'Aflah, mari lupakan sebentar apa yang ada di dunia ini..'

    Tanpa disedari, seorang lelaki datang menghampiri.

    "Boleh saya duduk di sini?"

. 

***



8.2

Segalanya bagai mimpi. Pemergian suaminya yang mengejut belum mampu diterima dengan hati yang ikhlas. Kini dia tiada sesiapa. Rumah Aflah se...