Belum reda masalah Aflah, lelaki itu kemudian mencari nombor telefon Aflah dari rakan perempuannya. Dia menghubungi Aflah dan memperkenalkan diri sebagai Helmi. Helmi mengaku dia yang selalu menghubungi Aflah di Facebook. Nama akaunnya adalah 'Mister H'.
Aflah tidak melayan mesej Helmi. Setiap kali dia mesej, Aflah akan padam serta merta. Memberitahu pada Zamil hanya akan menjadikan Zamil kembali mengamuk.
Helmi adalah lelaki lembut yang menjadi kawannya suatu ketika dulu di kampus. Begitu mereka bersahabat seperti rakan perempuan lain saling berkongsi cerita kehidupan. Helmi menjadi tempat Aflah berkongsi masalah.
Rakan perempuan lain semua tidak dipercayai kerana suka mengambil kesempatan dalam kesempitan.
Apabila mempunyai masalah kewangan. Helmi orang yang akan menolong tanpa dipinta. Banyaknya jasa Helmi jika diingat semula.
Sejak Helmi bertukar menjadi lebih maskulin, Aflah jadi kurang selesa dengan perhubungan itu. Ia menjadi lebih renggang apabila Aflah menerima lamaran Zamil. Aflah langsung tidak menyangka Helmi masih menaruh hati padanya.
Aflah menukar nombornya. Dia lebih bahagia tanpa diganggu.
---
2 Tahun berlalu,
Aflah masih bertahan dalam gelora hidup. Dia pasrah jika suaminya ingin mencari orang kedua. Tapi dia sangat menghargai jika suaminya tidak menceraikannya. Aflah memberikan surat kepada suaminya tentang keizinan untuk hidup bermadu jika suaminya ada pilihan lain diluar.
Dalam dua tahun yang berlalu, Aflah menempah kejayaan dalam menjual hasil lukisan di dalam Ebay. Dia tidak menyangka lukisannya disukai orang atas angin. Untuk tujuan itu, Aflah membuka satu akaun baru di instagram. Dia menggunakan nama yang tidak membayangkan dirinya. Tapi dia bebas menambah gambar yang diingini dan menceritakan apa saja yang diingini.