Zaiton menelefon Zahara selepas menerima panggilan dari Hospital Tambunan.
"Ara, Zamil koma di hospital. Kau dapat jaga? Aku tidak boleh menjaga. Anak-anak aku tiada yang jaga. Di Tambunan lagi tu. Susah aku nak urus anak-anak aku ni. Lakiku pun masih di laut."
Zaiton mengharap adiknya memahami situasi dirinya. Dalam maksud lain, dia tidak ingin menjaga adiknya itu. Zamil bukan adik kandungnya. Adiknya itu adalah anak kepada kawan baik ibunya yang merupakan anak tunggal. Ibu Zamil meninggal dan ibu mereka mengambil keputusan untuk memelihara Zamil sejak berumur 5 tahun.
Hal itu menjelaskan fakta perhubungan mereka yang tidak rapat walaupun dikatakan adik beradik. Ibu meninggal ketika berada di rumah Zamil. Perkara itu lebih menambah rasa prejudis mereka kepada Zamil. Zamil diberikan hibah atas kematian tersebut.
"Tolong sikit. Aku kerja ni, mana dapat cuti. Tak ada bukti dia tu adik aku."
Sejak itu, masing-masing membawa haluan masing-masing. Tiada yang mendatangi Zamil sebagai waris sebenar.
***
Tahun 1880
Zamil dan Rumandi telah berjalan selama beberapa jam. Matahari tegak di atas kepala bermakna sebentar lagi akan masuk waktu Zuhur.
Zamil mengajak Rumandi rehat di satu kawasan yang berhampiran dengan sungai. Ada pohon rendang, dan sedikit kawasan lapang tanpa semak. Sesuai untuk melaksanakan solat secara berjemaah. Sebelum mengambil wudhuk, Zamil telah memasang unggun api untuk merebus ubi yang ada.
Rumandi menguruskan dirinya di tempat yang jauh sedikit dari Zamil.
Selepas solat. Mereka melabuhkan diri mengelilingi unggun api dan ubi tadi.
" Rumandi, apa pandangan Rumandi tentang keadaan hidup Rumandi di rimba ini?"
"Maksud Ondu?"
"Pakaian Rumandi dengan orang sini berbeza. Boleh ceritakan bagaimana orang di tempat asal Rumandi?"
Zamil membantu Rumandi mengupas kulit ubi yang panas sambil mendengar respon Rumandi.
"Tempat saya, ada banyak bangunan sudah dibina. Hutan hanya tinggal sedikit. Ada kenderaan yang bertayar empat. Perjalanan jauh macam sekarang hanya memakan masa beberapa jam untuk sampai," Rumandi berasa bangga dengan kecanggihan kota tempat asalnya.
Dia tidak pasti Ondu memahami atau tidak tentang apa yang diceritakan.
Zamil makin teruja untuk tahu apa kisah di sebalik perjalanan Rumandi merentasi masa.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.