***
Aki Gantama dan Ondu telah berangkat ke kampung sebelah untuk menyertai pasukan yang akan mempertahankan tanah mereka.
Kimung meneruskan kegiatan keluarga dengan mengerjakan sawah. Sementara Ugou dan Induk membantu ibu mereka. Rumandi tidak ketinggalan membantu sebagai orang yang menyediakan makanan mereka.
Rumandi mendapat idea untuk mencari ikan di sungai sebagai lauk tengah hari. Dia mengambil 'siud' dan menuju ke sawah untuk memint izin Kimung. Kimung bangga melihat Rumandi berani untuk ke sungai. Dengan 'siud' iaitu sejenis alat menangkap ikan diperbuat dari rotan, ikan akan mudah terperangkap. Kerja itu tidaklah sukar bagi seorang perempuan.
Rumandi meminta Ugou menemaninya. Ugou bersetuju dan berbesar hati ke sungai. Dia suka sungai.
"Rumandi, kau mahu tahu satu rahsia?" Pancing Ugou. Rumandi menaikkan keningnya sambil tersenyum.
"Muka paras kau sangat serupa dengan isteri Ondu!"
"Hah?" Rumandi terlopong.
"Ondu sudah berkahwin rupanya..." Rumandi ingin kepastian.
"Sudah. Tapi sayang dia sudah ditinggalkan. Isterinya telah meninggal." Ugou mengucapkan dengan nada perlahan.
"Nama isterinya ...'Rumandi'," Ugou tersenyum-senyum.
"Oh..Patutlah dia memberikan nama ini pada saya..." Rumandi berasa simpati.
"Kami faham, kau mungkin bukan orang sini. Tapi sekurang-kurangnya kehadiran kau menyebabkan Ondu tersenyum semula. Kalau sebelum ini, dia hanya berdiam tiada perasaan. Dia suka atau tidak suka, wajahnya sukar difahami."
Seekor ikan tersangkut pada 'siud' Rumandi. Mereka kegembiraan. Ugou mengambil ikan itu dengan cekap dan memasukkan ke dalam bekas rotan.
"Isterinya itu baik?" Rumandi penasaran mengenai isteri Ondu.
"Sangat baik! Kau juga sebaik dia. Banyak persamaan antara kamu berdua." Ugou senyum menampakkan gigi yang kekuningan.
"Tinggallah dengan kami lama sikit." Permintaan Ugou mengundang resah di hati Rumandi.
Rumandi hanya membalas dengan senyuman dan anggukan yang tidak meyakinkan. Hanya Tuhan saja yang tahu kesudahan hayat ini.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.